Wednesday, August 26, 2009

Alahai...ibu tak larat...

Hari kedua saya demam, habis berbungkus dengan comforter tengahari buta...sejuk menggigil-gigil...batuk menjadi-jadi, tekak dah mula berdarah...aduii... tak larat...

"Nak buka apa hari ni, Bu?" Tanya Nisha. Saya hanya larat menunjukkan brochure McD delivery.

"Order la apa-apa...ibu tak masak...tak larat...." Saya menjawab dengan suara yang tersekat-sekat.

Lama juga tak diserang demam seteruk ini. Bagi saya, memang kena jaga kesihatan betul. Kalau sudah di jadual kena handle program, kena sihat walafiat, suara kena jaga...bukan senang nak minta ganti, huru-hara orang event nanti dibuatnya. So, bersyukur juga demam ni menyerang time bulan puasa...semoga dapat mengurang dosa-dosa kecil yang melaut tu...

So, petang tu, 2 beradik berbuka McD....hubby pulak ku hantar pergi berbuka di surau....demam-demam pun aku sungguh efisyen...kohh...kohh... (dengar tuh... bunyi batuk orang miskin...)

Sorry la dear....I tak larat....


Amni...happy je...lagi best buka McD...

Tuesday, August 25, 2009

Bila puasa...

Bila puasa ni, anak-anak sangat jelas minta bermanja...order makanan yang mereka idamkan...biasanya 3 anak, 3 menu yang berlainan.

Honey Dew Breeze - Kegemaran Nisha, tapi Amni pun terliur sama...

Resepi:
1/2 biji honey dew dipotong dadu
1 tin laici
1/2 tub ais krim vanilla
1 mangkuk kecil ais
3 sudu besar gula

Blend semua sekali, hidangkan sejuk....



Yang peliknya, banyak-banyak makanan, Amni mengidamkan pop corn???



3 steps recipe:

1. Beli popcorn ni di Giant.
2. Masukkan dalam microwave 3 minit.
3. Hidangkan.... walah...very fluffy...buttery.... mmm...






Kegemaran Zaid - Creamy Peach...sejuk...manis....smooth..


Resipi:

1 tin peach
1 tin susu cair Ideal
2 tub ais

Campurkan semua, sejukkan.

Friday, August 21, 2009

Payung Syurga (3)

Baru saya tahu mengapa Kak Zah beriya-iya ingin berjumpa saya. Dia membawa hajat besar rupanya. Kak Zah mengunjukkan kad jemputan walimatul urus Abang Mat kepada saya. Saya sudah tidak boleh bercakap walau sepatah. Ketika itu, saya sangat mengkagumi semua sifat-sifat yang Kak Zah miliki, sebagai wanita, sebagai isteri, sebagai ibu. Saya ingin mempunyai semua sifat-sifat tersebut, walaupun tidak lansung bersedia melalui apa yang dilaluinya.

Kalau saya mahu mempunyai sabar, saya mahu sabar seperti Kak Zah. Kalau saya mahu tabah, saya mahu setabahnya. Kalau saya mahu kuat, saya mahu sekuatnya. Kalau saya mahukan kelembutan, saya mahu selembut Kak Zah…. Selama ini, sikitpun yang saya buat untuk suami, saya berkira…saya menuntut pahalanya….bagaikan sudah baik sangat… Terngiang-ngiang kata-kata Kak Zah…kita ni kalau tak ikhlas kita tahu sendiri,tapi bila kita ikhlas, hanya Allah yang tahu….

Seminggu selepas itu, walimatul urus Abang Mat berlansung juga. Keluarga Kak Zah, keluarga Abang Mat semuanya ada. Kami sahabat-sahabat Kak Zah memikul 3 tugas yang amat mencabar. Satu, bersabar dan mengawal perasaan sebagaimana sabarnya Kak Zah. Dua, bergembira meraikan majlis Abang Mat, dan yang paling susah ialah dengan ikhlasnya bergembira, bukan bermuka-muka. Tiga, kami membawa suami masing-masing, itu lebih mencabar. Mencabarnya sebab bimbang selepas ini, suami-suami ini menjadikan cerita Abang Mat sebagai ‘case study’, apatah lagi ‘success stories’.

Kehidupan Kak Zah tidak ada bezanya selepas bermadu. Dia ceria, Abang Mat pun ceria. Abang Mat tidak pernah membawa isteri mudanya ke perjumpaan-perjumpaan kami. Cuma pernah sekali kami melihat keharmonian mereka ketika kenduri kesyukuran kejayaan anak sulung Kak Zah dan Abang Mat. Anak-anak Kak Zah lembut memanggil ibu muda mereka “Mami” . Siti juga pandai membawa diri. Kami melihat kemesraan Kak Zah dan Siti sangat tulus. Siti membahasakan Kak Zah “Mama” sebagaimana anak-anak Kak Zah memanggilnya.

Setahun selepas itu, Abang Mat disahkan mengidap kanser. Kesihatan Abang Mat merosot dengan cepat selepas mendapat tahu penyakitnya sudah di tahap 4. Sepanjang sakit, Abang Mat memilih untuk tinggal di rumah Kak Zah. Kak Zah yang berulang alik membawanya ke hospital untuk rawatan. Siti berulang alik membantu Kak Zah, dan mereka berganti-ganti mengambil cuti untuk menjaga Abang Mat. Tetapi Abang Mat lebih memilih Kak Zah yang mengurutnya, menyuapkannya dan memandikannya. Pernah sekali Abang Mat meminta Siti memanggilkan Kak Zah yang sedang sibuk di dapur untuk membantunya mengambil wudhu’ untuk solat. Siti menawarkan diri, tetapi Abang Mat menyuruhnya berehat. Kami lihat, Kak Zah melayan Abang Mat sebagai sahabat sejiwa, Siti melayannya sebagai suami.

Selepas 4 bulan menderita, Abang Mat meninggal di pangkuan Kak Zah. Kak Zah yang menjadi kayu sokongan buat Siti, malahan anak-anaknya. Siti bagaikan hilang arah dan Kak Zah yang membangunkannya dari rebah. Mereka berdua menjadi rakan karib. Disebabkan perbezaan umur, dan kebiasaan Siti memanggil Kak Zah “Mama”, mereka menjadi sangat rapat berdua. Jika bershopping, pasti orang menyangka mereka anak dan ibu. Pernah sekali dia mengusik Siti, “Awak ni muda lagi, Mama carikan penggantilah…biar senang ada orang jaga…”

Saya pernah bertanya Kak Zah perasaannya yang sebenar hidup bermadu. Tiadakah lansung rasa cemburu. Kak Zah bercerita, “Mengarutlah kalau tak ada rasa cemburu. Adakalanya bila Abang Mat kat rumah Siti, terasa sangat sunyinya. Mata terkebil-kebil tak boleh tidur. Masa tu, syaitan pun masuk mencucuk hati, menanam rasa buruk sangka, menanam rasa cemburu. Kalau dilayan, sampai boleh rasa sesak jiwa dibuatnya. Pernah sekali akak melayan rasa sampai ke pagi, menangis kesiankan diri sendiri…”

“Bila susah sangat nak tidur, Kak Zah sampai kena solat hajat banyak-banyak, baca Yassin berulang kali untuk menenangkan hati. Tapi bila fikir-fikir balik, sejak bermadu, Kak Zah jadi biasa bangun malam bertahajud, lebih banyak baca Quran dan lebih banyak berdoa. Baru terasa nikmat solat bila kita merayu-rayu pada Allah…”

“Pelikkan, cara Allah nak kan kita dekat pada Dia…” Kata Kak Zah lagi.

“Kak Zah rasa nasib baik Kak Zah beri Abang Mat kawin lagi, manalah kita tahu panjang ke pendek umur kita ni….kalau tak, rasanya terkilan hati Kak Zah ni tak dapat berikan satu perkara yang Abang Mat nak kan sangat….” Petang itu saya biarkan Kak Zah yang banyak bercakap. Saya hanya mendengar.

“Cuma Kak Zah rasa bersalah pulak…”

“Bersalah kenapa, Kak Zah?” Soal saya kehairanan.

“Yalah…Kak Zah minta sangat nak jaga Abang Mat bila sakit, lansung Allah beri betul pada Kak Zah… Kak Zah taklah berniat sakit macam tu. Maksud Kak Zah macam pening demam sikit-sikit… “ Kak Zah melepaskan keluhan yang panjang dan mendalam.

“Allah tu Maha Adil yang kita tak jangkakan….Abang Mat dapat apa yang dia inginkan, Kak Zah pun dapat apa yang Kak Zah hajat…” Pujuk saya pada Kak Zah.

“Tu yang Kak Zah rasa guilty sangat tu…Kak Zah tak minta Abang Mat sakit macam tu…” Pandangannya jauh dilemparkan ke tengah-tengah tasik. Kak Zah diam agak lama, entah apa yang difikirkan.

“Kesian Siti….” Tiba-tiba dia bersuara balik.

“Kesian Siti?” Soal saya semula.

“Dia tak pernah merasa sunyi…at least akak ada anak-anak, dia tu sorang je…” Saya memandang Kak Zah. Rasa hormat, rasa bangga mempunyai sahabat seperti dia.

“Kak Zah ni buatkan saya rasa nak mencontohi akak lah…bermadupun boleh jadi manis ye Kak…” Habis kata-kata saya itu, Kak Zah berpusing memandang saya. Saya dipeluknya dengan erat. Kak Zah menepuk-nepuk bahu saya dengan pandangan yang sangat dalam dan bermakna.

“Jangan, Along….. Jangan dimintak….”

Thursday, August 20, 2009

Payung Syurga (2).

Kak Zah tersenyum memanjang petang itu. Kami sebaya, tetapi memang menjadi panggilan manja antara kami sahabat-sahabat yang rapat saling memanggil kakak antara satu sama lain. Saya sendiri dipanggil Along tanpa sebarang sebab yang spesifik.

“Apa syaratnya Kak Zah?” Tanya saya berulang kali.
“Along…suami kita ni cuma pinjaman…kalau tak diambik Allah, diambik orang…ha…ha hah…”. Kak Zah bercakap sambil tergelak besar membuat lawaknya sendiri yang dia gelak pun sendiri. Saya terlalu fokus untuk mendengar syarat Kak Zah pada Abang Mat, sampaikan tidak sempat mengikut gelak Kak Zah berlawak.
“Kak Zah ni…cepatlah! Buat lawak pulak, orang tengah serius ni…”.
“Janganlah serius sangat…Akak cerita ni bukan nak buat Along stress..”. Lembut suara Kak Zah memujuk saya. Pelik betul Kak Zah, kena ubat-ubatan Abang Mat ke ni?
“Kak Zah satu malam tu solat hajat minta petunjuk, apa sajalah yang Allah nak beri petunjuk, Kak Zah akan ikut. Apa yang baik buat Kak Zah di akhirat, mungkin bayarannya kena dibuat di dunia…” Satu-satu Kak Zah mula menjawab persoalan saya.
“Kak Zah fikir balik apa salah Abang Mat pada Kak Zah selama ni?” Kata Kak Zah lagi.
“Apasal Kak Zah fikir macam tu pulak?” Soal saya pelik dengan kelainan cara Kak Zah berfikir.
“Yalah…..Kak Zah nak cari salahnya Abang Mat yang membuatkan dia tak layak beristeri lagi…” Jawab Kak Zah. Saya turut membayangkan Abang Mat dan tingkahlakunya selama ini. Saya hanya melihat dari luaran, dan saya hanya ada rasa mengkagumi beliau, rasa ‘respect’, dan banyak kali terlintas dalam hati, bertuahnya Kak Zah dapat Abang Mat. Saya bagaikan sudah dapat mengagak kata-kata Kak Zah yang seterusnya.

“Abang Mat ni, Along, susah Kak Zah nak ‘explain’… Cuma yang Kak Zah boleh cakap, seronoknyaaa… jadi isteri dia…satu privilege!” Mata Kak Zah bersinar-sinar menggambarkan betapa dia amat menghargai suaminya. Saya sikitpun tidak pelik dan tidak hairan, sebab saya juga merasakan Kak Zah bertuah bersuamikan Abang Mat.
“Bukan kitorang tak pernah gaduh, selalu jugak bergaduh….”
“Tapi lepas gaduh, jadi bertambah sayang…akak makin nampak kat mana nak melengkapi dia, sebab dari gaduh tu tahu kat mana kelemahan dan kekurangan dia…” Kak Zah bercakap penuh dengan perasaan sayang. Saya sendiri entah hilang ke mana rasa marah dan bengang dengan Abang Mat tadi.

“Jadi Kak Zah rasa, dia deserve untuk mendapat apa yang dihajatinya…” Kata Kak Zah sambil memandang saya, masih lagi tersenyum.
“Abang Mat minta cara baik, jadi, Kak Zah rasa perlu memberinya dengan cara terhormat.”
“Manalah tahu, Allah ingin memberi Kak Zah pahala dengan cara yang tak pernah Kak Zah impikan…” Kata-kata Kak Zah mengundang rasa sayu di hati saya. Mata saya yang bergenang airmata, sedangkan Kak Zah cukup tenang dan lansung tidak beremosi.
“Jadi, lepas solat Maghrib esoknya, Kak Zah pun tunaikan hajat Abang Mat…”
“Kak Zah cakap macamana?” Tanya saya pada Kak Zah. Tiada apa di dalam hati melainkan rasa ‘respect’ yang amat sangat pada wanita ini. Saya belum pernah diuji sejauh mana sayangkan suami sendiri. Saya hanya tahu saya sayangkan suami. Dan saya berharap tidak perlu diuji sehebat Kak Zah.

“Kak Zah cakap, Zah sayangkan abang kerana Allah, dunia akhirat. Dan Zah harap, abangpun sayangkan Zah semata-mata kerana Allah, dunia dan akhirat. Macam harta jugak, semakin kita kaya, semakin kita kena memberi kepada yang tiada. Abanglah di antara harta Zah yang paling bernilai. Sepatutnya Zah boleh berkongsi tanpa diminta.” Kata-kata Kak Zah terhenti di situ. Dia menyeka airmatanya yang mula mengalir. Dari tadi dia tidak nampak sedih lansung, tapi sekarang Kak Zah mula menitiskan airmata. Tangisan saya menjadi lebih laju berbanding Kak Zah. Saya tidak mampu berkata-kata tetapi tangan Kak Zah saya urut-urut dengan harapan dapat menenangkan dia.

“Kalau abang berhasrat untuk berkahwin lagi, Zah pasti abang pandai memilih isteri yang solehah. Jadi, Zah yakin madu Zah seorang yang Zah akan kagumi dan hormati.” Airmata saya berjurai-jurai mengalahkan airmata Kak Zah sendiri. Banyaknya perkara yang saya perlu perbaiki tentang diri sendiri. Banyaknya kekurangan saya yang saya tidak sedari…
“Zah bersyukur kerana abang memilih yang halal berbanding yang haram. Dan Zah rasa terpilih diberi peluang untuk membantu abang membangunkan sunnah.”

“Abang bernikahlah cepat bagi mengelakkan fitnah nafsu…nanti biar Zah tolong terangkan pada anak-anak.” Sesekali Kak Zah mengesat airmatanya dengan tisu.
“Zah cuma minta tolong satu perkara saja dari abang….” Saya mendongak memandang Kak Zah. Inilah syarat Kak Zah yang amat saya ingin ketahui.

“Zah tak akan berkira hari mana abang kena duduk dengan Zah, berapa hari abang perlu duduk di sana, berapa hari abang perlu duduk di sini. Abang putuskanlah mengikut mana yang abang rasa selesa dan perlu. Tapi…. Zah cuma berharap sangat….bila masa abang susah, abang runsing, abang ada masalah dan bila abang sakit dan tak sihat, Zah minta tolonggggg….sangattt…” Ayunan suara Kak Zah berpanjangan lembutnya.

“Zah berharap sangat, abang datanglah minta tolong dari Zah….datanglah minta tolong dari Zah. Kalau tengah malampun, datang jelah minta tolong dari Zah, Zah memang akan tolong abang….abang janganlah rasa teragak-agak minta tolong, jangan simpan-simpan…. ”

“Ingat ye bang, cari Zah….insya-Allah, Zah akan tolong meringankan susah abang dan sakit abang….itu je permintaan Zah….”

"Zah tak nak berkira kat mana abang nak pergi bila abang sihat, tapi harapan Zah, abang mencari Zah untuk tempat berkongsi susah dan sakit...."

Sememangnya saya sangat terperanjat dengan syarat Kak Zah itu. Wanita jenis apakah di depan saya ini? Saya belum pernah melihat Kak Zah dari sudut sebegini. Dia memang akan berkorban untuk sahabat-sahabatnya, tetapi tidak menyangka sanggup berkorban setulus itu. Hati saya bagaikan hancur dan rebah berderai ke tanah. Mata saya memandang Kak Zah yang sudahpun berhenti menangis. Hormat saya pada Kak Zah nun jauh setinggi Everest.

“Ya Allah, Kak Zah….baiknya Kak Zah ni…” Hanya itu yang saya mampu ucapkan.
“Baik ke? Ha…hah…hah….” Soal Kak Zah sambil mengkekek ketawanya….
“Bila dah dengar Kak Zah cakap macam tu, Abang Mat cakap apa?” Tanya saya tidak sabar. Saya boleh membayangkan perasaan Abang Mat ketika itu, pastinya bertambah-tambah sayang pada Kak Zah. Entahkan dia membatalkan pula hasratnya, luntur dan longlai dek kelembutan dan kesabaran isteri. Kak Zah tersenyum sambil tangannya mengeluarkan sesuatu dari dalam beg tangannya.
“Tengoklah ni…” Katanya lagi. Mata saya terbeliak melihat apa yang di tangan Kak Zah…

Wednesday, August 19, 2009

Payung Syurga.

Kak Zah sangat simple orangnya. Sangat mudah ketawa dan pandai bergurau. Dia seorang yang mudah melihat perkara-perkara yang terjadi padanya adalah semuanya ketentuan dan pemberian Allah. Hatinya sensitif bila diberi nikmat, apatah lagi bila ditimpa susah. Mukanya tenang, seorang yang kemas dan teliti. Bila berbual dengannya, terasa dia sangat perihatin. Dia tidak berkira, jika dia ingin menolong, dia akan menolong sepenuh hati, sehingga kita jadi segan dibuatnya.

Suami Kak Zah tinggi dan handsome. Cemburu melihat mereka berbual, hampir semua topik mereka sembangkan dengan sangat mesra dan terbuka. Mereka berdua sangat matang, dalam masa yang sama sekali sekala nampak kebudak-budakan. Mereka sangat ‘expressive’ tapi sangat ‘professional’. Mereka merupakan pasangan yang sangat menghormati antara satu sama lain. Kak Zah seorang yang rajin memasak dan menghias rumah. Abang Mat pula sangat ringan tulang. Mereka akan berpeluh-peluh mengemas ruang tamu, kemudian duduk berborak sambil minum kopi bersama-sama.

Dalam satu pertemuan, Kak Zah dengan tersenyum simpul memberitahu saya, “Ni akak nak beritahu…”
“Apa dia?”, tanya saya.
“Abang Mat minta nak kawin lagi…”. Suara Kak Zah tenang, masih tersenyum.
“Haa? Kak Zah ni biar betul!!!”. Jerit saya terperanjat. Sesungguhnya memang terperanjat yang teramat sangat. Kak Zah tergelak besar melihat mata saya yang terbeliak.
Sebelum sempat dia berkata apa-apa, saya bertanya lagi, “Bila tu?”
“2 minggu lepas.” Kak Zah tersenyum-senyum sambil mengurut-ngurut tangan saya. “Jangan la macam ni….”. Kata Kak Zah mententeramkan saya. Sepatutnya dia yang tidak tentu hala dan saya yang menenangkannya, tapi dia pulak yang menenangkan saya.
“Habis tu, Kak Zah buat apa?” Tanya saya lagi.
“Kak Zah masa dengar tu memang terperanjat juga. Lemah lutut dan tak boleh nak fikir jugak, macam kena angin ahmar.” Kata Kak Zah bercampur gelaknya yang biasa. Mata saya bulat merenungnya, sambil mencari-cari perasaannya yang sebenar.
“Sebab tak tau nak jawab apa pada Abang Mat, Kak Zah minta fikir 2-3 hari untuk nak cakap apa.” Suara Kak Zah cukup tenang.
“Bila dah fikir panjang, boleh fikir tenang-tenang, baru Kak Zah cakap balik pasal tu dengan Abang Mat.”
“Kak Zah jawab apa?” Tanya saya dengan suara yang saya cuba tenangkan sebaik boleh. Kak Zah mengambil masa agak lama untuk menjawab soalan saya. Dia menghela nafas beberapa kali.
“Cepat lah…Kak.Zah jawab apa?” Tanya saya lagi. Dia memegang tangan saya dan tersenyum lagi.
“Kak Zah berilah…”
“Ya Allah Kak Zah…Kak Zah beri?” Suara saya meninggi semula. Dalam hati bermacam-macam perasaan, ada sedih, ada terharu, ada terperanjat, dan yang paling menguasai diri ialah perasaan marah pada Abang Mat.
“Kak Zah tak tanya Abang Mat kenapa ke? Hisshhh….tak sangkalah Abang Mat ni….sampai hati betul!” Rungut saya beremosi.
“Dah tanya dah… Abang Mat cakap tak ada apa-apa salahnya Kak Zah ni, semuanya ok, semuanya best….”
“Habis tu?” Soal saya, bertambah pelik, bertambang bengang dengan Abang Mat.
“Abang Mat cakap dia cuma dah terjatuh cinta lagi, itu je…”
“Haa? Dah TERjatuh cinta lagi????” Kak Zah mengangguk-angguk dan tersenyum melihat saya yang tidak tentu hala.
“Masya-Allah Abang Mat ni, apa dah jadi dengan Abang Mat ni, Kak Zah??” Kak Zah mengurut-ngurut belakang saya.
“Janganlah macam ni…” Kata Kak Zah. Saya mengambil masa untuk menerima berita itu sambil menenangkan diri sendiri. Kak Zah juga tidak berkata apa-apa. Kami berdua melayan perasaan masing-masing. Dalam hati saya, teramat kagum dengan Kak Zah yang boleh bertenang dan tersenyum bercerita. Setelah yakin dapat mengawal perasaan, saya menyambung perbualan dengan Kak Zah.
“Kak Zah izinkan macam tu je?”
“Yalah….nak izinkan macamana pulak?” Soalnya lembut. Saya mengangguk-angguk.
“Tapi dengan satu syarat….” Kata-kata Kak Zah kali ini membuatkan saya tertanya-tanya, sangat ingin tahu.
“Apa syaratnya, Kak Zah?”

Monday, August 17, 2009

Dilema cikgu...(ehmm...bekas cikgu...)

Minggu ini merupakan minggu ujian bulanan buat Amni, tetapi, hakikatnya minggu ujian buat saya juga. Sewaktu peperiksaan pertengahan tahun, saya tidak ada untuk membimbingnya kerana mengerjakan umrah (baca tentang umrah dan amni). Keputusan Amni waktu itu memang baik tetapi mungkin persaingan yang hebat, hilang beberapa markah pun menjadikannya turun dari segi kedudukan jauh ke belakang. Jadi untuk ujian kali ni, Amni bersungguh-sungguh mahu saya mengajarnya.

Sebelum sesi 'tusyen' bermula, saya mengingatkannya 3 perkara:

1. Apa yang dipelajari mesti diingat - JANGAN LUPA.

2. Kalau sudah mencuba yang terbaik, maka itulah hasil yang terbaik. Markah yang tinggi adalah bonus. Jangan cepat sedih.

3. Jika salah kerana soalan tersebut susah, tidak mengapa, yang penting ialah kita belajar sesuatu dari soalan tersebut. TAPI JANGAN SEBAB CUAI!

Nisha yang duduk berhadapan saya di meja makan menyampuk selepas saya menyebut cuai, "Itu ibu punya pantang!".

"Haa...tahu tak pe...", saya mengusiknya pula. Dia tahu benar, saya cukup pantang kesilapan kerana cuai.

Sepanjang Hari Ahad saya membantu Amni mengulangkaji BM, subjek yang cukup mencabar. Dari Kata Nama ke Kata Kerja, Kata Gantinama Pertama, Kedua dan Ketiga, dari Simpulan Bahasa ke Pepatah, dan akhirnya ke Penjodoh Bilangan, Antonim dan Sinonim. Ada ketikanya sesi pembelajaran jadi sesi lawak jenaka. Budak Darjah Satu, hampir semua benda merupakan perkara baru. Kami berlakon di dunia raja-raja dan tuan puteri, barulah dia faham kegunaan beta, baginda, patik, tuanku dan hamba. Habis Ensiklopedia saya punggah, untuk menunjukkan yang mana terung, yang mana buncis, yang mana kangkung dan beza antara bayam dan sawi (lepas ni memang kena bawa ke pasar...).

Paling mencabar dalam bahagian penjodoh bilangan. Terkebil-kebil mata Amni cuba membezakan maksud ikat, cekak, buku, gugus, ulas, sikat, sisir, potong, keping, ketul, buah. Akhir sekali, tibalah sesi latih tubi. Banyak juga set soalan yang kami sempat buat. Sambil merujuk kepada satu soalan, Amni merungut bertanya saya mengapa jawapannya salah. Soalannya berbunyi:

Bapa membeli beberapa ______ durian di pasar.

Jawapan Amni ulas. Saya katakan salah. Jawapan yang sesuai ialah biji. Kemudian saya beritahu alasan dan logik, kebiasaannya orang akan beli durian mengikut biji, bukan ulas.

Dia mempertahankan jawapannya. Mukanya serius.

"Tapi abah selalu abah beli yang kat peket tu ada ulas-ulas saje...."

Saya tergelak. Nisha lebih tergelak besar. Suami saya tidak suka makan durian, apatah lagi mengopek durian. Tetapi saya dan anak-anak sukakan durian yang teramat sangat. Setiap kali Amni dan Nisha minta durian, suami pasti akan belikan yang sudah dipeket. Memang suami tidak pernah membeli durian "yang sebenar". Jadi pengalaman Amni sememangnya:

Bapa membeli beberapa ULAS durian di pasar....

(Sememangnya budak-budak belajar banyak dari pengalaman...tersilap pengalaman, tersilaplah punca rujukannya!)

Thursday, August 13, 2009

Subuh terakhir

Lagu Subuh Terakhir sememangnya sangat menyentuh hati saya, pertama kali mendengar dari radio IKIM, terus terpikat dengan liriknya yang sungguh mengesankan...

Pagi tadi, mendengar perkhabaran pemergian Ustaz Asri...masya Allah...siapalah kita untuk mengetahui pagi tadi adalah subuh terakhir...

Setiap Ramadhan, pastinya teringat Rabbani di Singgahsana Hotel. Menjelang Ramadhan ini, hati sudah merancang membawa keluarga berbuka di sana sambil mendengar Rabbani, pastinya mendengar alunan suara Ustaz Asri...

Manalah kita tahu, Ramadhan yang lepas adalah yang terakhir....

Tak perlulah menunggu esok...
Jika bersalah...pohonlah kemaafan...
Jika sayang...katalah sayang...
Ucaplah terima kasih kepada yang memberi...
Peluklah ibu dan bapamu...mungkin itu yang terakhir...
Tak perlulah menunggu esok...

Al -Fatihah untuk Ustaz Asri, semoga rohnya ditempatkan di kalangan para solihin...Amin.

Subuh Yang Terakhir
Rabbani


(Dengar lagu di sini.)

Bilakah kali yang terakhir kau ucapkan sayang
Pada insan yang setia berkongsi susah dan senang
Luahkan isi hati, andainya sudah ditakdir
Tadi subuh yang terakhir

Bila berdekatan kadangnya makin kita leka
Bila bejauhan barulah merindu didada
Selagi berkesempatan ucapkan terima kasih
Andai esok takkan hadir

Tika terkasar bahasa mungkin ada yang terasa
Tapi tak kedengaran rintihan kerna sayangkan dirimu
Namun di hati mampukah dilupakan
Rayulah kemaafan
Jangan sebelum nyawa dipulangkan

Bilakah kali yang terakhir kau kucupi pipi
Ayah bonda yang tak mungkin kau terbalas budi
Tunjukkanlah syukurmu bertuahnya kau dilahir

Tika terkasar bahasa mungkin ada yang terasa
Tapi tak kedengaran rintihan kerna sayangkan dirimu
Namun di hati mampukah dilupakan
Rayulah kemaafan
Jangan sebelum nyawa dipulangkan

Lihatlah saja isterimu berkorban separuh nyawa
Demi menjamin kebahagian anak dan suami tercinta
Buktikan padanya pilihan jodohmu tepat
Sebelum semua terlewat

Lafazkan rasa cinta...andainya sudah ditakdir
Tadi subuh yang terakhir

Thursday, August 6, 2009

Bajet.

Saya sudah menjadi ibu hampir genap 18 tahun lamanya. Pandainya saya menjadi ibu melalui proses yang panjang. Itupun tak pandai-pandai lagi… Ada ilmu datangnya dari pembacaan. Ada yang datang daripada pengalaman sendiri; trial and error. Banyak juga dari perkongsian pengalaman rakan-rakan, saudara mara dan ibu sendiri. Satu perkara yang saya pelajari, seorang ibu boleh diuji bermacam-macam, hatinya boleh kental bersabar. Tapi apabila diuji dengan kesusahan anak, hati seorang ibu jadi lembut tidak sampai hati. Kesian….sayang…hati ibu jadi lemah. Atas faktor inilah, anak-anak saya bijak menjadi ‘jurujual profesional’….mereka menjual keperluan, menjual cerita, menjual sedih…pasti saya ‘terbeli’….

Tapi saya juga cepat belajar…tahun ini, saya semakin bijak menjadi ibu…

Ketika Zaid mendaftar masuk ke kolej, saya kesian melihat keadaan asramanya, tapi saya kuatkan hati. Saya risau mengenang makan minumnya, tapi saya kuatkan hati. Saya bimbang tentang perbelanjaannya, tapi saya kuatkan hati. Saya tetapkan bajet perbelanjaan makannya untuk sehari, dan memberinya elaun penuh untuk sebulan, “Duit ni sampai 30 haribulan tau!” Pesan saya berulang kali.

Masuk minggu kedua, saya menerima sms dari Zaid, “Bu, datanglah Bu. Zaid minta advance RM30…” Alasannya yang pertama, duitnya tercicir. Alasan tersebut selalunya membawa maksud, duitnya habis bukan salah dia berbelanja, tetapi duitnya TER-cicir... Alasan itu selalunya mengundang simpati. Kesiannya, duit anakku hilang... Kebiasaannya saya pasti menunaikan permintaan sedemikian. Tetapi saya kuatkan hati, mengajar kerana sayang… Jadi, smsnya saya balas, “Macam nilah, apa kata Zaid guna bajet minggu depan..”. Akhir bulan ada seminggu saja lagi, kalau betul bajet, sepatutnya minggu depan dia masih ada sisa duit lagi. Saya sudah berpesan agar duit dibahagikan secara mingguan.

Sms Zaid saya terima hingga ke malam. Semuanya cerita tentang bagaimana duit belanjanya boleh habis. Saya dengar, saya memahami dan saya menjawab sms beliau dalam bentuk kenyataan. “Inilah realiti kehidupan. Nanti bila kita bekerja, duit gaji akan masuk bila akhir bulan. Kita kena betul-betul bajet. Kalau duit habis, kita tak boleh minta advance dari majikan. Macamanapun kena tunggu juga akhir bulan.”

Zaid merayu, ceritanya…semakin malam semakin sedih…meminta simpati. Hati naluri ibu memang risau, kesian, simpati, belas. Saya bercerita dengan suami, dengan Ijun, sebenarnya untuk menghilangkan rasa resah, rasa simpati dan mencari kekuatan. Kedua-dua suami dan Ijun memberi respon yang sama, “Jangan dilayan, kalau kali ni you beri duit, selama-lamanya dia tak tau nak buat bajet nanti…jangan risau, pandailah dia apa nak buat…” Sepanjang malam jugalah, saya memujuk hati untuk bertenang....

Sms Zaid yang terakhir malam itu berbunyi, “Takpelah Bu kalau tak nak datang, tapi Zaid betul-betul tinggal RM1, sekarang ni tengah lapar giler, mungkin esok tak larat nak ke kuliah.” Saya tak jadi tidur, sememangnya tidak dapat tidur. Risaunya bukan kepalang. Sebagai ibu, satu kelemahan saya yang amat sukar untuk saya perbaiki ialah sifat 'overly protective'. Di tengah-tengah malam saya solat dan berdoa moga Allah beri saya kekuatan dan jalan keluar kepada Zaid jika benar apa yang dia ceritakan. Saya tidak membalas smsnya hinggalah ke hujung bulan.

Akhir bulan, seperti dijanjikan, Zaid boleh balik ke rumah. Ketika Zaid di rumah, saya tidak mengungkit kisah tersebut. Zaid juga tidak bercerita apa-apa. Ketika menghantarnya ke asrama semula, saya berpesan lagi, “It’s very important for you to take care of your budget, because, I have my own budget. Kalau Zaid lari bajet, ibu really can’t help you because, every single ringgit is counted for. Kalau ibu kasi duit tambahan, ibu pulak yang akan lari bajet. Everything yang ibu kena bayar semuanya wajib dibayar, semuanya komitmen.” Zaid mengangguk-angguk. Sepanjang perjalanan, Zaid bercerita macam-macam, jauh dari mood merajuk. Sememangnya di luar jangkaan. Saya ingat dia akan berjauh hati dengan saya, rupanya tidak. I am proud that I can control my sympathy… Saya seronok melayannya bercerita, dan kami berbual seperti kawan.

Sometimes, he just choose to learn through a hard way. And now, I choose to be a better mum!

Wednesday, August 5, 2009

Syurga cinta.

“Kak, saya nak beritahu satu perkara…” H berbisik ketika kami berjalan untuk bersarapan. Belum sempat saya bertanya, H sudah menyambung. “Saya dah putus tunang!”. Saya memandangnya; tidak pasti untuk memberi reaksi bagaimana. H nampak releks dan tiada tanda-tanda sedih. Saya agak terkejut, walaupun hati saya lega sebenarnya. “Alhamdulillah…” Tanpa disedari, perkataan itu terkeluar dari mulut saya. H tergelak, “Akak bukan orang pertama cakap macam tu, semua orangpun cakap perkara yang sama bila saya beritahu.” Saya menjawab, “Mestilah bersyukur, sebab akhirnya Allah beri kekuatan. Tak ramai orang yang mampu buat macam tu atas sebab sayang dan malu. Akhirnya, diri sendiri terkorban.”

Sepanjang bersarapan, sesi soal jawab bermula. Mengapa? Kenapa? Bila? Siapa yang memutuskan? Berita ini memang di luar dugaan kerana sebelum bertunang, H bagai tidak boleh dipisahkan dengan tunangnya. Inikan pula H sendiri yang memutuskan, memang sungguh tidak saya duga.

Mata saya bulat memandang H ketika dia memberitahu sebab dan punca dia berkeputusan demikian. Saya dapat merasakan perubahan H yang tidak diduga, dia nampak matang, tahu apa yang baik untuk dirinya dan paling penting memahami hakikat sebuah perkahwinan.

Di tengah-tengah perbualan itu, saya mencelah, “Akak rasa emak H mesti lega dan bersyukur.” H mengangguk. “Apa yang menyebabkan H kuat hati buat keputusan?” Soal saya dihujung perbualan. “Tak tahulah…tapi lepas tengok Syurga Cinta, hati terus terbuka…”, jawab H.
Malam itu, jenuh saya men-google filem tersebut. Walau hanya membaca sinopsisnya, saya dapat memahami mengapa H begitu terkesan sekali…

Esoknya saya bertemu H lagi, “You know what…you'd made the right decision…you'll be fine...”. "Kenapa yek?", tanya H.

"Sebab..it's not only about who's your husband, but most importantly, it is about the father of your children...". H mengangguk-angguk. Senyumnya melebar...

Tuesday, August 4, 2009

Cakap tak serupa bikin...


Minggu lepas dan minggu ini merupakan minggu yang sungguh mencabar buat saya. 4 hari dalam program, email dan sms berderet-deret. Ada saja masa terluang, menjawab semua email dan sms menjadi keutamaan…semuanya penting dan segera. Masa terlampau sedikit, menjawab email dan sms terbawa-bawa hingga ke rumah. Malam itu, saya berhadapan dengan ‘moment of truth’…tanpa disangka-sangka....dari anak berumur 7 tahun...

Jadual malam di rumah bermula seawal 6.30 petang. Anak-anak perlu makan malam, kemudian mandi dan bersedia untuk solat Mahgrib. Biasanya seawal 8.15 malam mereka mengaji, kemudian terus dengan latihan matematik, menyusun buku untuk sekolah esoknya dan akhir sekali membuat kerja sekolah. Di antara jadual tersebut, saya mencuri-curi menjawab email dan sms. Mata sekejap merujuk kepada pertanyaan Amni, tetapi banyak tertumpu ke sms. Saya tahu, fokus saya lansung tidak padanya. Saya tahu saya tidak sepatutnya bersikap demikian, tetapi saya terus sibuk membalas sms.

“Ibu!!! Concentrate-lah Bu! Focus on me…focus on me. I am your important, not your handphone. Don’t do your urgent. First things first!!

Saya tersentak dan terperanjat dengan jeritan Amni. Memang dia geram dengan perangai saya. Soalannya tentang kerja sekolah saya jawab acuh tak acuh. Adakalanya lain yang dia soal, lain yang saya jawab. Tapi yang membuat saya tersentak ialah bila dialog Amni sebiji sama dengan dialog saya bila memarahinya. Lucu ada bila dia meniru sedemikian. Mata saya mengerling ke arah suami.

“Padan muka you!” Jawabnya ringkas. Betulpun! Padan muka saya, pandai cakap, tak pandai bikin….